Monday 1 April 2013

21 : FILEM DULU DAN KINI

Assalamualaikum dan selamat sejahtera kawan-kawan ^_^

    I'M NOT SINGLE
    ANTOO FIGHTER
    LU PIKIRLAH SENDIRI
    KAMI THE MOVIE
    REMP-IT

    Kawan-kawan pasti tahu tajuk-tajuk filem yang saya senaraikan di atas bukan?? Lihat sahaja pada tajuk, sudah membuktikan bahawa kualiti bahasa yang digunakan dalam filem kita semakin kurang.. Kita baru sahaja lihat pada tajuknya belum lagi ditonton filemnya.. Tajuk sahaja sudah menggambarkan bahasa yang digunakan di dalam filem..

    Penggunaan bahasa yang bercampur aduk antara bahasa Melayu dengan bahasa asing terutamanya bahasa Inggeris pelulah dielakkan di dalam filem.. Alasan ingin menggambarkan realiti masyarakat di luar filem dijadikan alasan semata-mata.. Cuba kita lihat  tajuk-tajuk filem zaman dahulu yang menggunakan bahasa Melayu baku.. Sedap didengar bukan?? Contohnya seperti Seniman Bujang Lapok, Masam-masam Manis, Ibu Mertuaku dan Bukit Kepong..

    Selain penggunaan bahasa rojak dalam filem Melayu, wujud juga penggunaan bahasa slanga yang sememangnya terpinggir daripada nilai estetika bahasa Melayu.. Contohnya ialah perkataan bro, syok, lu dan blah merupakan bahasa slanga yang digunakan dalam filem Cinta.. Penggunaan bahasa slanga dalam filem tidak mencerminkan ketinggian bahasa dan bangsa Melayu malah turut mendorong masyarakat, iaitu penonton mengikutinya.. 

    Namun, penggunaan dialek di dalam filem pada zaman ini adalah jauh lebih baik daripada bahasa rojak dan slanga.. Penggunaannya masih boleh diterima kerana dialek merupakan sebahagian daripada bahasa kita.. Melalui penonjolan dialek dalam filem juga dapat memperkenalkan kekayaan bahasa kita kepada khalayak penonton.. Contoh filem yang banyak menggunakan dialek ialah Pi Mai Pi Mai Tang Tu dan Drama Salam Pantai Timur..

    Ternyata penggunaan bahasa dalam filem kini amat jauh berbeza dengan filem dahulu.. Walaupun ada bahasa Inggeris dalam filem dahulu namun penggunaannya yang sedikit tidak terlalu mempengaruhi masyarakat yang menonton.. Dalam filem Antara Dua Darjat memaparkan penggunaan bahasa Melayu tinggi yang baik dalam kalangan bangsawan dan hal ini berbeza dengan penggunaan bahasa dalam filem kini yang banyak memaparkan perbezaan status pengguna bahasa.. Bahasa Melayu yang terpelihara hanya digunakan oleh watak-watak bukan profesional seperti pemilik kedai makan, pemandu teksi dan sebagainya manakala watak-watak yang memperlihatkan status sosial lebih mengutamakan bahasa Inggeris sebagai medium komunikasi yang banyak diperlihatkan dalam filem kini seperti watak arkitek, Tan Sri dan doktor..

    Filem dahulu juga mempunyai pengaruh bahasa Melayu-Arab seperti dalam filem Ali Baba Bujang Lapok, Abu Hassan Penchuri dan Ahmad Albab.. Walaupun mempunyai pengaruh bahasa asing, namun filem-filem ini amat menarik minat masyarakat.. Buktinya, filem-filem ini banyak kali telah diulang di televisyen dan masyarakat tidak berasa jemu menontonnya malah terhibur dengan unsur humor yang digunakan..

    Tuntasnya, sememangnya perbezaan filem dahulu dengan kini amat ketara sekali.. Pada pendapat saya, unsur bahasa asing yang terlampau ketara dalam filem Melayu kini perlu dibendung kerana faktor media massa merupakan salah satu faktor utama yang mempengaruhi kualiti penggunaan bahasa dalam masyarakat kita..

SEKIAN, TERIMA KASIH ^_^

RUJUKAN...
1)DEWAN BAHASA, SEPTEMBER 2010.

No comments:

Post a Comment