Thursday 28 March 2013

20 : CONTOHI KOREA

Assalamualaikum dan selamat sejahtera ^_^

    Semasa saya membaca majalah Dewan Bahasa yang baru dibeli semalam, saya tertarik dengan artikel yang bertajuk "Korea Tidak Memerlukan Bahasa Asing Untuk Maju" oleh Cliff Akid Kamijan.. Terdapat temu bual di antara penulis dengan Profesor Dr. Ahn Young Ho, iaitu Dekan di College of Oriental Languages di Hankuk University of Foreign Studies, Seoul semasa beliau mengunjungi ke DBP pada tahun 2006.. Saya akan merumuskan apa yang dikatakan oleh Prof. Ahn ini..

    Apabila ditanyakan soalan mengenai "Bagaimanakah Korea dapat mempertahankan bangsa kebangsaan sebagai jati diri bangsa", Prof. Ahn mengatakan bahawa rakyat Korea amat menyanjung tinggi usaha generasi lama yang telah memperlihatkan keintelektualan yang tinggi sehingga dapat mencipta tulisan Korea serta menjadikan bahasa sebagai jati diri bangsa Korea.. Rakyat Korea yakin mereka tidak memerlukan bahasa asing untuk mengejar kemajuan.. Buktinya ialah kejayaan yang dicapai oleh Korea sekarang seperti dalam bidang teknologi tinggi adalah dalam bahasa Korea..

    Kemudian, ditanya pula mengenai "Bagaimana dengan pengaruh bahasa asing, terutama bahasa Inggeris yang menjadi bahasa utama dunia?", Prof. Ahn mengatakan bahawa seluruh dunia mengetahui yang bahasa Inggeris merupakan lambang kuasa tetapi mengapakah kita perlu mengorbankan bahasa kebangsaan jika mahu belajar bahasa Inggeris?? Memang ada pengaruhnya tetapi sangat sedikit, seperti perkataan okay.. Malah Kamus Inggeris-Korea diterbitkan di Korea semenjak tahun 1948 lagi tetapi itu semua tidak memberikan kesan kepada perkembangan bahasa Korea.. Prof. Ahn juga ada menyatakan bahawa dia mendapati rakyat Malaysia sangat suka mencampuradukkan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris dalam pertuturan..

    Apabila ditanya bahasa apa yang digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah, Prof. Ahn menjawab semua mata pelajaran diajar dalam bahasa Korea, kecuali mata pelajaran bahasa Inggeris.. Kemudian ditanya cara Korea dapat menguasai ilmu baharu dari Barat dengan cepat, beliau mengatakan bahawa ilmu tersebut akan diterjemahkan ke dalam bahasa Korea.. Ditanya pula mengenai badan yang menjaga perkembangan bahasa Korea, Prof. Ahn menjawab seperti di Malaysia yang mempunyai DBP, di Korea pula ada Korean Academy of Language yang sama fungsinya dengan DBP..

    Prof. Ahn juga mengatakan bahawa semua siri televisyen yang diimport dari luar negara diterjemahkan ke dalam bahasa Korea, namun ada sebuah saluran televisyen yang menyiarkan cerita Inggeris tetapi dipaparkan sari kata dalam bahasa Korea.. Prof. Ahn juga mengatakan bahawa semua pelajar asing yang belajar di Korea terlebih dahulu harus menguasai bahasa Korea kerana bahasa yang digunakan dalam bilik kuliah ialah bahasa Korea..

    Apabila ditanya pengalaman yang meninggalkan kesan kepada beliau ketika belajar bahasa Melayu, Prof. Ahn meluahkan perasaan kekecewaannya terhadap rakyat Malaysia.. Beliau pernah berjumpa dengan seorang menteri dan sebagai orang asing, beliau berasa bangga dapat berbahasa dengan "Datuk" tersebut.. Pada peringkat awal perbualan, mereka berbual dalam bahasa Melayu tetapi pada peringkat pertengahan perbualan, Datuk tersebut mula mencampurkan beberapa patah perkataan bahasa Inggeris dan akhirnya Datuk tersebut menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya.. Daripada perbualan itu, beliau dapat merasakan bahawa bahasa Melayu berhadapan dengan masalah yang rumit dalam negaranya sendiri..

    Kesimpulannya, orang Korea dapat maju tanpa menggunakan bahasa Inggeris, jadi mengapa tidak kita mengikut jejak langkah mereka?? Malah orang asing juga telah dapat merasakan bahawa bahasa Melayu sedang berhadapan dengan masalah.. Mereka juga tidak menggunakan bahasa Inggeris di sekolah, namun mereka berjaya menjadi sebuah negara yang maju.. Bila lagi Malaysia hendak maju tanpa menggunakan bahasa asing??

TEPUK DADA TANYA SELERA
SEKIAN, TERIMA KASIH ^_^
 
RUJUKAN...
1) Cliff Akid Kamijan, Korea Tidak Memerlukan Bahasa Asing untuk Maju, Dewan Bahasa, November 2006.

No comments:

Post a Comment