Thursday 14 March 2013

9 : KURANG AJAR

Assalamualaikum dan selamat sejahtera kawan-kawan ^_^

    Mungkin tajuk saya pada kali ini agak kurang sopan, namun hal inilah yang mahu saya tekankan.. Dewasa ini, sifat kurang ajar semakin menjadi-jadi terutamanya dalam kalangan remaja.. Lebih-lebih lagi apabila bercakap dengan orang yang lebih tua..

    Pada malam Selasa yang lalu, saya menaiki bas ke kampus untuk menghadiri perjumpaan bersama penasihat persatuan.. Sampai sahaja di hadapan Taman Bernam, pemandu bas memperlahankan bas.. Terdetik di hati saya mungkin ada yang hendak turun di sini.. Tiba-tiba seorang pelajar lelaki yang duduk di bahagian belakang menjerit ke arah pemandu bas.. Lebih kurang begini dialognya :

Depan lagi pakcik, depan lagi.. Bukan kat sini (Menjerit dengan nada yang agak tinggi dan kurang sopan)

    Saya hanya menggeleng-gelengkan kepala sahaja melihat telatah pelajar lelaki itu.. Sudahlah membuat bising di dalam bas, kurang ajar pula dengan pemandu bas.. Pada pendapat saya, tidak salah jika pelajar tersebut ke hadapan dan memberitahu kepada pemandu bas lokasi yang sebenarnya.. Tidak perlu menjerit dari arah belakang bas..

    Pada hari Sabtu yang lalu, saya pergi ke Kajang dan pulang ke UPSI pada malam Ahad dengan menaiki komuter.. Setiba di Stesyen Kereta Api Tanjung Malim, saya terlihat ada seorang perempuan tua menangis teresak-esak sambil dipujuk oleh seorang perempuan muda yang bertudung (mungkin anak perempuannya).. Kemudian, saya terdengar seorang perempuan muda yang tidak bertudung memarahi perempuan tua tersebut dan saya yakin itu ialah anak perempuannya..

    Sudahlah memaki hamun ibu sendiri di hadapan orang ramai, perempuan muda itu juga menggunakan nada yang amat tinggi kepada perempuan tua itu.. Saya melihat ada seorang lelaki tua hanya menundukkan kepalanya sahaja mungkin malu dengan perangai anaknya itu.. Saya berasa amat sedih melihat keadaan itu dan saya hanya mampu berlalu pergi.. Perlukah perempuan muda itu memarahi ibunya di hadapan orang ramai dengan bahasa yang amat kesat dan nada yang tinggi.. Derhakakah dia?? Sepatutnya, masalah keluarga perlu dibincangkan di rumah bukan di khalayak orang ramai..

    Natijahnya, jangan menggunakan bahasa yang kurang ajar dan bernada tinggi sewaktu berbicara terutamanya kepada orang tua, lebih-lebih lagi dengan ibu bapa sendiri.. Kita perlu berlemah lembut semasa berbicara dan seeloknya bersikap mesra dalam masyarakat sewaktu berbicara dan menggunakan bahasa dengan baik.. Hal ini demikian kerana perkataan yang kesat atau bernada kurang ajar tidak disenangi oleh masyarakat terutamanya golongan tua.. Mereka mudah terasa hati.. Oleh itu, penggunaan bahasa yang bernada  kurang ajar dan tinggi ini perlu dibendung kerana semakin berleluasa terutamanya dalam kalangan remaja..

JAGA TUTUR BICARA ITU PERLU..
SEKIAN, TERIMA KASIH ^_^

No comments:

Post a Comment